Tahukah anda bahawa tangisan rutin bayi boleh di kenal pasti? Asasnya ialah, apabila bunyian di tambah kepada tindakan refleks badan, bunyi yang unik dan bersifat sejagat (universal) akan terhasil.
Perhatikan fenomena seperti sedu, menguap, sendawa, bersin atau batuk dalam kalangan orang dewasa. Bukankah setiap fenomena tersebut hadir dengan bunyi tersendiri dan bersifat universal? Semua manusia akan sedu, menguap, sendawa, bersin dan batuk dengan bunyi yang serupa.
Perkara yang sama terjadi kepada bayi. Bayi tidak mampu bercakap. Satu-satunya cara bayi berkomunikasi adalah dengan bergantung kepada tindakan refleks badannya untuk menghasilkan bunyi. Bila bunyi-bunyian ini gagal difahami atau tidak diberi perhatian, maka bayi akan mula menangis.
Ada lima bunyi tangisan rutin yang dapat dikenal pasti menggunakan kaedah Dunstan Baby Language;
a) “Neh”- Bayi kelaparan. Bunyi ini dihasilkan akibat ‘sucking reflex’.
b) “Heh”- Bayi sedang tidak selesa. Mungkin kerana cuaca terlalu panas atau sejuk, lampin bayi penuh dan sebagainya. Secara amnya, ia akibat tindak balas kerengsaan terhadap kulit.
c) “Owh”-Bayi mengantuk dan ingin ditidurkan. Terhasil akibat refleks menguap (‘yawning reflex’).
d) “Eh”-Bayi perlu disendawakan. Ia terhasil akibat kontraksi otot abdomen dalam cubaan menolak keluar angin.
e) “Eairh”-Bunyi yang mewakili kembung perut. Terjadi bila angin terperangkap dalam perut bayi.
Mengetahui apa yang “dituturkan” bayi membolehkan anda memberi respon yang tepat dan cepat, mengelakkan bayi memulakan tangisan menjerit dan melalak. Dengan itu, anda kurang stres, seisi rumah lebih tenang dan tidur anda lebih panjang!
Memahami bayi menyebut “Neh” dapat memastikan pencapaian berat badan dan pembesaran bayi yang sihat kerana ibu tidak terlebih atau terkurang menyusukan bayi. Ibu akan menyusukan setiap kali diminta bayi berbanding mengagak-agak sendiri. Lebih penting, pembaziran susu terutama stok susu ibu dapat dielakkan bila penjaga bayi anda juga memahami percakapan bayi.
Memahami sebutan “Eh” pula mengelakkan bayi disusukan dalam keadaan angin masih belum dikeluarkan. Susu akan berada dia atas angin dan bayi akan muntah selepas menyusu. Masa akan dibazirkan, baju akan dikotorkan, bayi tidak kenyang dan tidak dapat tidur.
Lebih parah, jika angin yang tidak dikeluarkan itu turun ke bahagian bawah perut dan mengakibatkan kembung perut. Sesiapa sahaja boleh belajar apa jua bahasa di dunia ini bukan?
No comments:
Post a Comment