Monday 17 November 2014

Kebaikan Kolostrum Awal




Sebaik bayi lahir ke dunia, apa yang paling awal anda lakukan? Majoriti ibu akan memberikan susu ibu yang pertama kepada bayi yang baharu menjengah dunia. Tahukah anda bahawa penyusuan awal adalah sesuatu yang penting kepada bayi. Ini kerana susu awal ibu mengandungi kolostrum yang terkenal kaya dengan khasiat luar biasa kepada bayi.
Oleh itu adalah wajar bagi ibu untuk terus menyusukan bayi sebaik melahirkannya kerana ketika itu perut bayi masih kosong dan susu awal yang masuk ke dalam perutnya dapat memenuhi keperluan khasiatnya.
Walaupun demikian, tentu sahaja ibu berasa hairan dan terfikir bagaimana si kecil yang baharu keluar dari perut ibu sudah pandai menyedut susu ibu. Hal ini terjadi kerana bayi sememangnya lahir dengan mempunyai keinginan untuk menyusu. Oleh itu bayi secara automatik mampu menyedut susu ibu yang diberikan kepadanya.
Kemampuan tersebut memberikan manfaat kepada bayi anda kerana secara langsung dia akan menyedut kolostrum yang kaya dengan khasiat seterusnya menikmati manfaat awal daripada susu ibu yang paling awal untuk sistem imun badannya.
Bayangkan sekiranya bayi tidak memiliki kemampuan untuk menyusu dan anda sendiri tidak mengetahui tentang khasiat susu awal tersebut pasti kerugian kepada anda berdua kerana kolostrum berwarna kekuningan tersebut dibiarkan terbuang begitu sahaja.
Oleh itu penting bagi ibu-ibu mengetahui tentang kepentingan memberikan bayi susu seawal kelahirannya agar si kecil mendapat kebaikan kolostrum yang sangat hebat itu.

Sunday 16 November 2014

Bila Anak Tercekik




Masalah tercekik di kalangan kanak-kanak memang kerap berlaku. Ia berlaku apabila suatu objek kecil atau cebisan makanan tersekat di dalam trakea, menyebabkan suatu serangan batuk.  Penting bagi  anda mengeluarkan benda itu dengan cepat supaya anak anda dapat bernafas dengan sempurna semula.
Tercekik merupakan perkara biasa di kalangan kanak-kanak kecil yang cenderung memasukkan semua benda yang dipegang ke dalam mulut. Mereka juga mungkin mendapati sukar untuk menelan makanan kering dan rapuh. Oleh itu elakkan makanan ini jika boleh.
Jika anda berhadapan dengan situasi anak tercekik, lakukan perkara berikut.
  1. Duduk atau berlutut di atas satu lutut dan tiarapkan anak anda di atas lutut anda, dalam keadaan kepalanya tergantung ke bawah. Sokong dadanya dengan sebelah tangan dan tepuk  bahagian di antara tulang belikatnya beberapa kali.

  1. Jika ini gagal mengeluarkan halangan, masukkan jari anda ke dalam mulut anak anda dan cuba kais benda itu dari belakang kerongkongnya. Berhati-hati supaya anda tidak tertolak apa-apa lebih jauh lagi ke dalam kerongkongnya.

  1. Jika dia masih tersedak, dudukkannya di atas riba anda dalam keadaan menghadap ke hadapan. Sokong belakangnya dengan sebelah tangan dan genggam tangan anda yang sebelah lagi dalam keadaan ibu jarinya ke dalam, pada bahagian tengah di antara pusatnya dengan bentuk V di bawah tulang rusuknya. Tekan dengan kuat ke dalam dan ke atas hingga sebanyak empat kali.

  1. Jika anak anda tidak mula bernafas seperti biasa setelah halangan dikeluarkan, lakukan bantuan pernafasan.

Tip Pilih Mainan Bayi



Tahukah anda mengapa alat permainan dicipta mengikut usia bayi? Ia bukan sekadar alat permainan untuk suka-suka sahaja. Tetapi alat permainan dicipta bertujuan untuk memberi manfaat kepada perkembangan motorik halus dan kasar bayi.
Namun sebelum membelikan mainan untuk si kecil, pastikan anda tahu apa fungsi alat permainan itu. Pilih alat permainan yang sesuai mengikut usia bayi anda dan bukan kerana anda suka akan mainan tersebut. Ini kerana setiap fasa perkembangan anak adalah berbeza.
Alat permainan yang disarankan adalah yang sesuai dengan usia dan bermanfaat untuk keperluan perkembangannya. Antara contoh alat permainan yang sesuai untuk bayi berusia enam hingga 12 bulan adalah seperti berikut.
  1. Stacking rings
Alat permainan ini sesuai untuk bayi berusia enam bulan ke atas. Dengan permainan ini, anak belajar menyusun alat tersebut mengikut saiz bentuk daripada kecil hingga besar dan warna yang berbeza. Anak akan belajar untuk memegang dengan betul, memutar objek dan melatih otot jari tangan. Selain itu, mainan ini juga melatih konsentrasi, mengenal warna dan belajar konsep saiz objek yang berbeza. Sebaiknya ibu bapa berada di sisi anak ketika dia bermain agar dia boleh belajar dengan bantuan anda.
  1. Shape sorting bus
Alat permainan memasukkan pelbagai bentuk seperti bintang, bulan, bulat, bujur, kotak ke dalam objek bas yang menyediakan lubang mengikut bentuk tersebut juga sesuai untuk bayi berusia enam bulan ke atas. Ia membantu bayi belajar merangkak kerana ketika anak menggerakkan kenderaan tersebut maka dia boleh belajar merangkak sambil bermain. Selain itu ia turut membantu melatih koordinasi mata dan tangan. Bahkan anak belajar mengenal bentuk kerana ia perlu mencari saiz lubang yang sesuai untuk memasukkan objek bentuk  tersebut.
  1. Light and sound walker
Ada pelbagai bentuk alat permainan yang boleh membantu bayi belajar berjalan. Penggunaan baby walker adalah tidak disarankan oleh kebanyakan pakar pediatrik kerana sebenarnya ia langsung tidak membantu anak belajar berjalan. Jadi anda boleh membelikan alat permainan ini untuk membantu anak belajar berjalan sambil bermain. Mainan ini sesuai untuk bayi berusia sembilan hingga 12 bulan ke atas. Dengan alat permainan ini, anak bukan hanya belajar berjalan tetapi juga menolak, duduk, membongkok dan melatih jari tangan untuk memutar dan memasukkan objek.

Saturday 15 November 2014

5 Bunyi Rahsia Tangisan Bayi





Tahukah anda bahawa tangisan rutin bayi boleh di kenal pasti? Asasnya ialah, apabila bunyian di tambah kepada tindakan refleks badan, bunyi yang unik dan bersifat sejagat (universal) akan terhasil.
Perhatikan fenomena seperti sedu, menguap, sendawa, bersin atau batuk dalam kalangan orang dewasa. Bukankah setiap fenomena tersebut hadir dengan bunyi tersendiri dan bersifat universal? Semua manusia akan sedu, menguap, sendawa, bersin dan batuk dengan bunyi yang serupa.
Perkara yang sama terjadi kepada bayi. Bayi tidak mampu bercakap. Satu-satunya cara bayi berkomunikasi adalah dengan bergantung kepada tindakan refleks badannya untuk menghasilkan bunyi. Bila bunyi-bunyian ini gagal difahami atau tidak diberi perhatian, maka bayi akan mula menangis.
Ada lima bunyi tangisan rutin yang dapat dikenal pasti menggunakan kaedah Dunstan Baby Language;
a)      “Neh”- Bayi kelaparan. Bunyi ini dihasilkan akibat ‘sucking reflex’.
b)      “Heh”- Bayi sedang tidak selesa. Mungkin kerana cuaca terlalu panas atau sejuk, lampin bayi   penuh dan sebagainya. Secara amnya, ia akibat tindak balas kerengsaan terhadap kulit.
c)       “Owh”-Bayi mengantuk dan ingin ditidurkan. Terhasil akibat refleks menguap (‘yawning reflex’).
d)      “Eh”-Bayi perlu disendawakan. Ia terhasil akibat kontraksi otot abdomen dalam cubaan menolak keluar angin.
e)      “Eairh”-Bunyi yang mewakili kembung perut. Terjadi bila angin terperangkap dalam perut bayi.
Mengetahui apa yang “dituturkan” bayi membolehkan anda memberi respon yang tepat dan cepat, mengelakkan bayi  memulakan tangisan menjerit dan melalak. Dengan itu, anda kurang stres, seisi rumah lebih tenang dan tidur anda lebih panjang!
Memahami bayi menyebut “Neh” dapat memastikan pencapaian berat badan dan pembesaran bayi yang sihat kerana ibu tidak terlebih atau terkurang menyusukan bayi. Ibu akan menyusukan setiap kali diminta bayi berbanding mengagak-agak sendiri. Lebih penting, pembaziran susu terutama stok susu ibu dapat dielakkan bila penjaga bayi anda juga memahami percakapan bayi.
Memahami sebutan “Eh” pula mengelakkan bayi disusukan dalam keadaan angin masih belum dikeluarkan. Susu akan berada dia atas angin dan bayi akan muntah selepas menyusu. Masa akan dibazirkan, baju akan dikotorkan, bayi tidak kenyang dan tidak dapat tidur.
Lebih parah, jika angin yang tidak dikeluarkan itu turun ke bahagian bawah perut  dan mengakibatkan kembung perut. Sesiapa sahaja boleh belajar apa jua bahasa di dunia ini bukan?

Tarik Minat Anak Makan





Kadang kala sukar mengajak anak-anak makan kerana mereka sibuk bermain atau menonton televisyen. Walaupun hidangan yang disediakan menyelerakan tetapi mereka tidak mempedulikan. Bagaimanapun ada pula situasi di mana anak hendak makan tetapi ibu dan ayah pula sibuk dengan kerja lain.

Oleh kerana perlu makan berseorangan, akhirnya anak hilang selera lalu terus tidak makan. Justeru sebagai ibu bapa, anda perlu bijak menarik perhatian anak-anak untuk makan agar mereka mendapat nutrisi yang diperlukan untuk membesar dengan sihat.

*Pastikan anda sentiasa ada di sisi anak ketika dia makan.

*Biarkan anak menikmati makanan dengan tenang dan jangan memaksanya untuk menghabiskan makanan dengan cepat.

*Berikan pujian sekiranya dia makan dengan tertib dan dapat menghabiskan makanannya.

*Bercerita dengan anak tentang khasiat makanan yang dimakan dan apa fungsinya kepada dirinya.

*Sebaiknya biarkan anak makan sendiri.

*Pastikan anak makan ketika dia sedang lapar.

*Berikan kuantiti makanan yang mampu dihabiskan oleh anak kerana saiz perutnya berbeza dengan orang dewasa.

*Elakkan anak makan bersulam air kerana ia hanya akan membuatkan dia cepat kenyang.

*Tetapkan jadual makan yang sama setiap hari agar mereka lebih berdisiplin tentang waktu makan.

*Jangan beri anak makan makanan berat di antara waktu makan utamanya.

Pentingnya Masa Berkualiti




Untuk membina ikatan mesra antara ayah dan anak serta membantu membentuk karektor positifnya, ternyata peranan seorang ayah sangat berpengaruh. Oleh itu walau sesibuk mana pun dengan kerjayanya, ayah mesti menyediakan waktu khusus untuk anak atau disebut ‘bonding time’.
Masa berkualiti antara seorang ayah dan anak memberi peluang kepada mereka untuk menghabiskan masa berdua tanpa kehadiran ibu bersama. Apa aktiviti yang boleh dilakukan bersama anak? Semuanya terpulang kepada ayah untuk memilih aktiviti yang menggembirakan anak. Ayah juga perlu bijak membuatkan anak selesa dengan apa yang dilakukan.
Antara aktiviti yang sesuai mengikut gender anak seperti bermain bola sepak di padang, bermain permainan video, bermain lawan-lawan jika si anak adalah lelaki. Tetapi jika anak adalah perempuan, ayah boleh bermain permainan masak-masak, membacakan buku cerita atau membiarkan anak mendandan rambut ayah.
Itu jika melakukan aktiviti di dalam rumah, sekiranya memilih aktiviti luar rumah, ayah boleh mengajak anak menonton wayang, bersiar-siar di kedai kesukaan anak seperti kedai buku atau alat permainan, membawa anak menaiki kenderaan awam seperti LRT dan sebagainya.
Aktiviti berikut hanya sesuai dilakukan bersama anak-anak yang sudah berusia empat tahun ke atas. Jika anak masih usia bayi, ayah boleh menghabiskan masa bersama dengan menguruskan keperluan bayi sambil berbual-bual dengannya walaupun si kecil masih belum boleh bercakap tetapi dia akan tahu bahawa ayah ada di sisinya.
Menyediakan waktu khusus untuk anak tidak memerlukan masa yang panjang. Kadang kala masa antara 20 hingga 30 minit sehari untuk ‘bonding time’ sudah cukup memberi kesan jangka panjang kepada anak. Bahkan ia juga tidak memerlukan kos yang mahal atau perjalanan yang jauh. Paling penting masa bersama yang bermanfaat bersama si kecil.
Mungkin jika hari bekerja, ayah agak sibuk dan keletihan maka pastikan masa hujung minggu diganti dengan waktu yang lebih panjang untuk sesi ‘bonding time’. Bermain, berbual, bersiar-siar bersama adalah saat yang dinantikan oleh anak-anak. Yang pasti, ayah mesti menyediakan waktu untuk bersama-sama anak dalam usaha membina hubungan erat anda berdua.

Thursday 13 November 2014

IQ Tinggi Bila Rapat Dengan Ayah




Biasanya ibu akan menjadi orang yang paling sibuk sekali apabila anak menghadapi ujian persekolahan. Ibu akan seboleh mungkin membantu anak ketika belajar kerana mahu si kecil mendapat keputusan cemerlang. Tetapi hakikatnya peranan ayah tidak kurang penting dalam mendampingi anak belajar.
Bimbingan terus daripada ayah dalam proses pembelajaran dapat memberi kesan positif pada perkembangan fizikal, kognitif, emosi dan sikap anak. Anak sememangnya mencari keselesaan daripada seorang ibu, namun ia tetap memerlukan interaksi yang intensif dengan ayah.
Ada sebuah kajian yang dilakukan oleh University Oxford menunjukkan bahawa ada kaitan antara perhubungan rapat ayah dan anak dan pencapaian akademiknya di sekolah. Dikatakan anak yang banyak berinteraksi dengan ayah mempunyai IQ lebih tinggi berbanding anak yang kurang berinteraksi dengan ayahnya.
Bahkan, mereka juga memiliki kemampuan berbahasa dan kognitif yang lebih baik. Kajian lain juga mendapati anak yang dididik dengan sempurna oleh ayah mempunyai kurang masalah di sekolah dan apabila meningkat dewasa.
Maka jelaslah bahawa ayah mempunyai peranan penting dalam kemampuan akademik anak. Oleh itu ibu dan ayah perlu saling bekerjasama membahagi tugas untuk membimbing si kecil menghadapi ujian.
Ayah bukan sekadar membantu anak mengulang kaji pelajaran tetapi menyiapkan mental si kecil agar lebih yakin untuk menghadapi ujian tersebut. Karektor ayah yang berbeza dengan ibu tentu dapat mencipta corak pembelajaran yang berbeza berbanding ibu. Ciptakan suasana ceria dan menyeronokkan agar anak lebih bersemangat untuk belajar.
Mungkin anda berdua boleh bermain kuiz mengenai pelajaran yang dipelajari berbanding sekadar membaca yang tentu boleh membosankan si kecil. Pelbagai kreativiti boleh dicipta bagi menimbulkan suasana menyeronokkan semasa belajar. Jelas sekali interaksi ayah memainkan peranan penting dalam membantu pencapaian positif si anak di sekolah.

Muzik Dan Kanak-Kanak



Secara semulajadi kanak-kanak memang suka akan bunyi-bunyian yang menghiburkan. Irama muzik sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan kanak-kanak. Malahan sejak lahir lagi, biasanya papa dan mama sudah mendodoikan anak-anak untuk tidur dengan lagu-lagu tradisional atau alunan zikir.

Sebenarnya semua rangsangan ini memberikan nilai positif dalam perkembangan minda bayi dan kanak-kanak. Kajian membuktikan bahawa muzik boleh memantapkan perkembangan bahasa, keupayaan membina bunyi-perkataan, keupayaan matematik kanak-kanak dan sesetengahnya meningkatkan keupayaan intelektual kanak-kanak.

Kebanyakan pakar kanak-kanak bersetuju bahawa kesesuaian muzik untuk bayi dan kanak-kanak adalah tidak terhad, asalkan muzik tersebut tidak terlalu kuat atau menyakiti telinga bayi. Biasanya apabila bayi semakin membesar, dia secara automatik akan bergoyang, bergerak dan menari sebaik mendengar irama muzik. Semua bayi mempunyai naluri deria irama dan menggemari muzik.

Perkembangan bahasa
Muzik juga mampu menenangkan bayi yang sedang menangis. Biasanya, jika si kecil menangis,  ibu bapa akan mendamaikannya melalui pujukan berbentuk nanyian. Melodi yang dilantunkan di sebalik suara ibu atau ayah membantu menenangkan emosi bayi.

Dalam usia enam tahun pertama, kanak-kanak boleh berlagu mengikut irama apabila mereka cuba membezakan deria dan bunyi daripada irama muzik serta memperoleh penyampaian visual bunyi tersebut. Proses mendapatkan maksud daripada bunyi merupakan kunci utama untuk permulaan kanak-kanak dalam perkembangan bahasa mereka.

Muzik juga memiliki keupayaan memulih ke atas kanak-kanak. Mengikut hasil kajian yang dijalankan olehStanford University telah mendedahkan bahawa muzik meningkatkan pembacaan untuk kanak-kanak disleksia.

Selain daripada itu, muzik juga telah dikaitkan dengan peningkatan celik huruf. Malah, muzik sememangnya menjadi komponen penting dalam perkembangan bahasa kerana ia merupakan cara yang baik untuk melibatkan kanak-kanak dalam menerokai bunyi dan perkataan, manakala irama pula alat yang berguna untuk meningkatkan memori. Contoh terbaik adalah lagu huruf. Sesetengah orang dewasa masih menyanyikan ABCDE hingga Z untuk membaca huruf.

Dengan pendedahan muzik dan latihan muzikal, anak anda berupaya untuk memahami maklumat baru dengan lebih baik dan cepat, kerana muzik meningkatkan keupayaan mental.

Wednesday 12 November 2014

Garis Panduan Pemberian Makanan Bayi dan Kanak-Kanak Kecil




Pemberian makanan kepada bayi dan kanak-kanak kecil seharusnya tepat pada masa, mencukupi, selamat, dan sesuai untuk dimakan. Ia boleh dicapai dengan mengaplikasikan sembilan garis panduan berikut:

1. Amalkan penyusuan susu ibu secara eksklusif dari lahir hingga anak berusia enam bulan. Makanan pelengkap perlu diberi mulai umur enam bulan (180hari) di samping meneruskan penyusuan susu ibu sehingga berumur dua tahun.

2. Mulakan pemberian makanan pelengkap kepada bayi yang menyusu susu ibu atau rumusan bayi apabila berusia enam bulan. Penyusuan susu ibu mengikut kehendak bayi perlu diteruskan sehingga bayi berumur dua tahun.

3. Beri makanan yang mencukupi bagi memenuhi keperluan tenaga. Tingkatkan amaun makanan mengikut umur.

4. Beri pelbagai jenis makanan untuk memastikan semua keperluan nutrient dipenuhi. Daging, ayam, ikan, telur, susu, dan produk tenusu perlu diberi dengan kerap.

5. Ubah tekstur serta cara penyediaan makanan secara beransur-ansur mengikut umur bayi dan sesuaikan dengan perkembangan serta keupayaannya.

6. Tingkatkan kekerapan pemberian makanan mengikut umur.

7. Amalkan pemberian makanan secara responsive dengan menggunakan prinsip penjagaan psikososial. 

8. Amalkan penyediaan, pengendalian, dan penyimpanan makanan secara selamat.

9. Semasa sakit, berikan bayi dan kanak-kanak lebih air dan cecair lain. Berikan hidangan yang kecil tetapi kerap.

Monday 10 November 2014

Apa patut dilakukan apabila bayi yang sedang disusukan menggigit anda ?




Perlukah saya berhenti menyusukan apabila bayi saya sudah tumbuh gigi?




Tidak. Menyusukan bayi yang sudah tumbuh gigi adalah perkara biasa. Gigi pertama bayi selalunya keluar semasa umurnya kira-kira enam bulan, tetapi ini berbeza di antara seorang bayi dengan yang lain. Sesetengah bayi masih tidak tumbuh gigi selepas umur enam bulan. Ada juga bayi yang dilahirkan sudah tumbuh gigi! 


Walaupun ramai bayi yang menyusu badan telah tumbuh gigi, kebanyakannya tidak pernah menggigit ibu mereka. Malah, jika bayi anda melekap dengan betul, dia tidak dapat menggigit kerana lidahnya menutup gusi bawah semasa menyusu. Untuk menggigit, dia perlu menarik lidah ke belakang untuk mendedahkan giginya. Ini mustahil semasa dia sedang melekap



Bayi anda juga tidak akan menggigit menggunakan gigi atasnya. Seperti orang lain, bayi juga menggigit ke atas, bukan ke bawah. Rahang bawahnya bergerak tetapi rahang atas tidak. 



Untuk membolehkan bayi anda melekap dengan betul, pastikan mulut bayi terbuka luas, atau ternganga, dan bersedia untuk memasukkan buah dada anda. Kepalanya sepatutnya terdongak ke belakang dengan dagunya ke hadapan. Jika kepalanya terdongak ke hadapan, gigi atasnya mungkin menekan payudara anda. 


Mengapakah bayi saya menggigit semasa menyusu?

Selain daripada tidak melekap dengan betul, ada beberapa sebab lain mengapa bayi menggigit: 
  • Bayi yang lebih besar mudah terganggu perhatiannya. Jika mereka menoleh untuk melihat sesuatu, mereka boleh lupa bahawa payudara ibu masih berada dalam mulut mereka, dan kemudian mereka menutup rahang.
  • Sesetengah bayi menggigit pada akhir penyusuan. Sebaik sahaja anda rasa bayi mula menarik lidahnya, pastikan dia lepaskan payudara anda sepenuhnya.
  • Bayi anda mungkin menggigit jika dia tertidur semasa menyusu. Tunggu sehingga pergerakan rahangnya menjadi perlahan dan lemah, kemudian keluarkan payudara anda daripada mulutnya sebelum dia tertidur.
  • Bayi anda mungkin menghidap selsema atau jangkitan telinga yang membuatkannya sukar untuk menelan. Cuba pegang bayi dalam kedudukan lebih menegak semasa menyusu untuk memudahkan dia menelan dan mengurangkan kesakitan anda.
  • Bayi juga bersifat ingin tahu! Sesetengah bayi menggigit untuk melihat apa yang berlaku.
Jika anda perasan rahang bayi anda mengetat sebelum dia menggigit, masukkan jari kelingking anda ke dalam tepi mulutnya, di antara gusinya. Dengan cara ini, dia akan menggigit jari anda, bukannya payudara. Jangan tarik payudara anda keluar semasa dia sedang menggigit. Ini hanya akan membuatkan anda bertambah sakit

Bagaimanakah saya boleh menghentikan bayi saya dari menggigit?


Anda boleh cuba beberapa taktik untuk menghentikan bayi anda dari menggigit. Kaedah yang anda ambil bergantung kepada umur bayi dan tahap pemahamannya


Gigi bayi yang baru keluar adalah tajam. Jika dia menekan pada payudara anda, kemungkin besar anda akan menjerit! Reaksi sebegini mungkin mengejutkan bayi dan dia mungkin tidak akan melakukannya lagi. Mungkin juga dia akan terlalu terkejut hingga tidak mahu menyusu lagi



Walau bagaimanapun, reaksi yang paling biasa apabila anda menjerit ialah bayi anda akan melakukannya lagi untuk melihat adakah perkara yang sama berlaku. Baginya, perkara ini seperti bereksperimentasi dengan mainan berpunat yang perlu ditekan atau mainan yang perlu digoncang supaya berbunyi. 



Jika ini berlaku, cubalah bertenang dan diam, tetapi hentikan penyusuan. Pandang tepat ke matanya dan katakan “jangan” dengan tegas. Bayi anda perlu mengaitkan menggigit dengan kehilangan puting. Kebanyakan bayi tidak suka berpisah seperti ini. 



Anda mungkin tergoda untuk mencerai susu jika bayi anda menggigit, tetapi ada banyak cara yang boleh anda lakukan dahulu. Berikut adalah beberapa tip tentang bagaimana untuk tidak menggalakkan bayi menggigit: 

  • Jika bayi anda terus menggigit, letakkan dia di atas lantai untuk seketika sejurus selepas dia mengigit.
  • Bagi anak yang lebih besar yang gemar menggigit, tunjukkan reaksi positif apabila dia tidak menggigit. Berikan banyak pelukan, ciuman dan pujian.
  • Jika anda rasa anak anda inginkan perhatian, pandanglah ke matanya dengan kerap dan bercakap dengannya semasa dia menyusu.
  • Belajar mengenal tanda-tanda dia sudah selesai menyusu.
  • Jangan susukan dia kecuali apabila sudah terlalu lapar.
  • Keluarkan payudara anda daripada mulutnya apabila dia terlena.
  • Berikan dia gegelang gigit sebelum atau selepas penyusuan.

Pertubuhan Kesihatan Dunia mencadangkan penyusuan badan sepanjang dua tahun pertama kanak-kanak. Jika anda memutuskan untuk meneruskan penyusuan selepas umurnya lebih setahun, anda dan anak anda perlu membiasakan diri dengan penyusuan yang bebas-gigitan. 



Saturday 8 November 2014

15 Fakta Menarik tentang Senyuman




Senyum memberi bahagia, tapi tak dinafikan ramai di antara kita terlupa untuk melakukan senaman yang paling mudah ini. Senyum semestinya mempunyai banyak kelebihan. Tahukah anda, 15 fakta menarik tentang senyuman? Jom baca.
15 fakta menarik Tentang Senyuman
1. Para saintis mendapati senyum dan ketawa nerupakan satu senaman berbentuk jogging dalaman di mana dapat merangsang seluruh tubuh dan mampu memberi manfaat berguna kepada sistem saraf otak dan juga hormon-hormon.
2. Pengkaji dan pengamal barat percaya dengan memulakan hari dengan senyuman bukan sahaja berupayamenceriakan hidup anda tetapi memberi banyak kebaikan kepada kesihatan. Apabila kita tersenyum, badan turut ‘tersenyum’ dan menganggap kita gembira. Kajian menunjukkan senyuman memperlahankan aliran darah yang melalui sinus ke otak.
3. Apabila darah yang ‘sudah sejuk’ ini sampai ke hipotalamus (bahagian yang mengawal suhu badan dan emosi) ia menghasilkan kesan ‘gembira’. Selain itu, apabila kita tersenyum, kita hanya menggunakan 17 otot muka berbanding 43 ketika mengerutkan dahi.
4. Senyuman bukan sekadar reaksi gerak muka, tetapi turut mempunyai kaitan dengan penghasilan endorphin dalam otak yang mengurangkan kesakitan fizikal dan emosi menjadikan seseorang itu rasa lebih selesa dengan diri sendiri.
5. Kajian menunjukkan individu yang ketawa 100 kali dalam tempoh 24 jam mendapat manfaat kardiovaskular sama seperti bersenam 10 minit. Hal ini terjadi kerana apabila kita ketawa, tekanan darah dan kadar degupan jantung meningkat. Kemudian kedua-dua kadar ini akan turun iaitu lebih rendah daripada paras sebelum anda ketawa.
6. Anda juga perlu sedar bahawa kanak-kanak lebih banyak ketawa dari orang dewasa. Kanak-kanak berumur antara empat hingga enam tahun ketawa 400 kali sehari berbanding hanya 15 kali sehari di kalangan orang
dewasa. Jesteru tidak hairan jika orang dewasa lebih mudah diserang penyakit serta mengalami masalah tekanan dan kemurungan.
7. Kajian yang dibuat oleh sekumpulan saintis dari Universiti Pusat Perubatan California menjelaskan terdapat dua jenis ‘stress’ iaitu stress yang baik dan stress yang tidak baik. Senyum dan ketawa dikategorikan
sebagai stress yang baik. Stress yang tidak baik akan memberi tekanan kepada sistem ketahanan badan.
8. Dalam kajian di atas, dua kumpulan orang dewasa telah digunakan sebagai eksperimen. Kumpulan pertama dipertontonkan cerita-cerita lucu manakala kumpulan kedua diletakkan disebuah bilik tanpa berbuat apa-apa.
Sampel darah diambil 10 minit sebelum dan selepas kajian dibuat. Dari keputusan sampel darah tersebut, kumpulan pertama didapati peningkatan hormon semakin baik seperti hormon ‘endorphins’ dan hormon ‘neurotransmitters’ dan penurunan tahap hormon stress ‘cortisol’ dan ‘adrenaline’ .
9. Ketika kita ketawa, sel pembunuh tumor dan virus semulajadi dalam badan akan bertambah selaras dengan pertambahan Gamma-inteferon (protein melawan penyakit), sel T (yang penting untuk sistem pertahanan badan) dan sel B (yang menghasilkan antibodi melawan penyakit).
10. Senyuman juga mampu merendahkan tekanan darah, menambah kemasukan oksigen dalam darah dan ini secara tidak langsung merangsang proses penyembuhan. Banyak kajian terbukti bahawa tekanan emosi seperti kemurungan, kemarahan atau keresahan mempunyai kaitan dengan sakit jantung.
11. Senyuman yang diakhiri dengan ketawa mengaktifkan kimia badan dan secara tidak langsung merendahkan risiko penyakit jantung, tekanan darah tinggi, strok, atritis dan ulser. Pusat Perubatan Universiti Maryland menjalankan kajian ke atas 300 responden dan mendapati 40 peratus orang yang mengidap penyakit jantung kurang ketawa berbanding orang yang sihat.
12. Senyuman dan ketawa antara senaman yang baik kerana ia membabitkan diafragma, abdomen, sistem pernafasan, muka, kaki dan otot belakang badan. Ketawa ‘mengurut’ organ dalam abdomen dan menguatkan otot abdomen, merangsang kedua-dua belah otak dan meningkatkan keupayaan untuk belajar. Ia melegakan ketegangan otot dan tekanan psikologi; membuatkan otak lebih peka serta bersedia menerima maklumat baru.
13. Ketawa juga dikatakan mampu memperbaiki fungsi usus, sekali gus meningkatkan pencernaan dan penyerapan nutrient dalam badan. Ada juga yang percaya ketawa boleh membakar kalori seperti kita bersenam beberapa minit.
14. Selain memberi pelbagai kebaikan kepada tubuh, dalam ajaran Islam sendiri mengatakan senyum itu satu sedekah. Senyum mampu menjadi penawar pada penyakit rohani yang kronik. Senyum tidak perlu modal, cuma sekelumit rasa ikhlas yang bisa memaniskan senyuman itu. Senyuman yang dilemparkan mampu menyerikan hari insan lain. Mungkin juga mampu menyejukkan hati yang sedang marah atau mampu juga untuk memulakan
sesebuah ikatan.
15. Pujangga menyebut :
” SENYUM ITU KELOPAK. KETAWA ITU BUNGA YANG SEMPURNA KEMBANGNYA”.
 
Images by Freepik