Ciri-ciri Perkembangan
Proses perkembangan berlaku
secara berterusan daripada
peringkat percambahan sel sehingga akhir hayat organisma. Seseorang boleh menambah
ilmunya atau mengalami proses belajar mengenai benda dan perkara baru sepanjang
hayatnya. Contohnya seorang datuk yang berumur 70 tahun belajar menggunakan
tongkat untuk berjalan disebabkan kakinya telah lemah. Perkembangan
akan berterusan walaupun telah mencapai peringkat kematangan
Perubahan tingkah laku berlaku
dalam keadaan yang berterusan dan menerusi peringkat-peringkat
perkembangan tertentu. Individu akan
belajar tingkah laku yang sesuai dengan peringkat umurnya daripada orang-orang
yang signifikan dalam hidupnya. Contohnya
bila seseorang telah menjadi ibu, dia akan mempelajari cara untuk menjaga bayi
daripada emaknya. Tingkah laku yang dipelajari termasuklah cara memandikan
bayi, cara memberi susu badan atau menyuap makanan pejal, menukar lampin dan
sebagainya.
Perkembangan adalah perubahan dari segi kemahiran
atau kebolehan. Misalnya kemahiran menggunakan anggota badan, kanak-kanak 2
tahun belum boleh menggunakan kakinya untuk mengayuh basikal sendiri. Oleh itu
dia perlukan basikal yang disokong oleh dua roda kecil di kiri dan kanan tetapi
kemahiran mengayuh dan mengimbang badan ini akan diperolehinya bila berumur 3
tahun. Contoh lain, kemahiran menggunakan bahasa atau sistem, kebolehan
mengawal emosi dan kebolehan menyesuaikan diri dengan kawan akan berkembang
apabila umur seseorang meningkat.
Perkembangan dipengaruhi oleh baka dan persekitaran. Baka menentukan had
perkembangan manakala persekitaran akan membantu individu mencapai tahap
perkembangan yang maksimum. Contohnya sekiranya seseorang kanak-kanak itu
bapanya jurutera dan ibunya doktor, tentulah dia mewarisi kecerdasan ibu
bapanya. Tetapi entah bagaimana dia telah hilang sejak kecil dan dijumpai serta
dipelihara oleh orang asli dan telah tidak bersekolah. Oleh itu apabila dia remaja dan bertemu semula
dengan ibu bapanya yang sebenar, dia mungkin terus buta huruf oleh sebab
bakanya tidak dapat berkembang dalam persekitaran yang sesuai.
Perkembangan adalah bersifat kumulatif terutama perkembangan ilmu pengetahuan dan
kemahiran. Kehidupan kita sekarang dipengaruhi oleh apa yang kita lalui. Contohnya
kanak-kanak yang tidak kenal nombor atau memahami konsep nombor, tidak boleh
diajar operasi tambah dan tolak.
No comments:
Post a Comment