Wednesday 29 October 2014

Faktor-Faktor Mempengaruhi Pertumbuhan dan Perkembangan Kanak-Kanak

Faktor-Faktor Mempengaruhi Pertumbuhan dan Perkembangan Kanak-Kanak

Faktor-faktor yang mempengaruhi perkembangan manusia terdiri daripada dua, iaitu baka (nature)  dan persekitaran (nuture).  Baka atau persekitaran, manakah faktor yang paling mempengaruhi pertumbuhan dan perkembangan manusia?  Persoalan ini telah menjadi perdebatan yang tiada kesudahannya.  Pada masa sekarang tidak ada jawapan yang tepat mengenai persoalan ini.  Alasannya ialah bergantung kepada beberapa aspek.

Pengaruh baka
Baka merupakan faktor keturunan atau faktor pembawaan yang diwarisi daripada sifat-sifat genetik keluarga ibu dan ayah.  Maka, individu akan mempunyai sifat-sifat ibu dan ayahnya.  Contohnya warna mata anda dipengaruhi oleh keturunan (gen dominan dan gen resesif). Tahap kesihatan kanak-kanak juga dipengaruhi oleh status kesihatan ibu bapa, seperti penyakit bawaan keturunan seperti diabetis, darah tinggi atau kekerdilan.  Temperamen atau emosi seseorang juga boleh diperkaitkan dengan pengaruh baka. Dengan itu, kita boleh katakan bahawa sebahagian besarnya dipengaruhi oleh keturunan berbanding dengan faktor persekitaran.


Walaupun baka mengehadkan pertumbuhan dan perkembangan,  persekitaraan boleh memaksimakan potensi pertumbuhan dan perkembangan seseorang.  Contohnya, ketinggian juga boleh dipengaruhi oleh pemakanan dan intervensi persekitaran seperti latihan fizikal yang intensif. 

Pengaruh persekitaran
Faktor persekitaran merupakan faktor yang datang dari luar diri individu seperti pranatal dan posnatal,  pemakanan, keluarga, persekitaran sekolah dan pengaruh rakan sebaya.

Persekitaran di mana seseorang individu membesar dan berkembang adalah memainkan peranan yang penting dalam membentuk diri dan tingkah laku seseorang individu itu.  Contohnya dari mula lahir sehingga berumur 8 tahun, persekitaran sangat penting. Banyak faktor-faktor persekitaran memainkan peranan penting dalam perkembangan awal kanak-kanak termasuk pemakanan, kualiti persekitaran, rangsangan otak hubungan kasih sayang dengan keluarga atau ibu bapa dan peluang-peluang pembelajaran. Keluarga, sekolah, masyarakat dan rakan sebaya juga memberi kesan kepada perkembangan. (Morrison , 2001) menyatakan faktor semula jadi dan pemupukan adalah sama penting untuk pertumbuhan dan perkembangan yang normal. Interaksi di antara kedua-dua faktor ini telah menjadikan manusia seperti diri kita pada hari ini (Morrison, m.s 193 – 195).

No comments:

Post a Comment

 
Images by Freepik